Aszda LifeNotes

Wednesday, 26 August 2015

Info Hamil: Plasenta Previa I

Apa itu plasenta previa, dan adakah kerap berlaku?

Plasenta previa (placenta praevia) adalah plasenta atau uri yang terletak rendah. Ia adalah komplikasi kehamilan yang mana plasenta berada di bahagian bawah uterus dan menutupi sebahagian atau kesemua serviks atau pembukaan rahim. Dalam setiap 1,000 wanita, antara tiga hingga enam orang mempunyai masalah ini. Perdarahan mungkin berlaku sebagai satu simptom keadaan ini. Apabila bahagian bawah rahim atau uterus mulai regang pada peringkat kedua kehamilan, plasenta mungkin terpisah, menyebabkan perdarahan yang teruk. Bayi tidak boleh dilahirkan melalui vagina jika plasenta menutupi pembukaan rahim secara menyeluruh.

Perdarahan yang tidak dapat diberhentikan (haemorrhage) boleh menggugat nyawa kedua ibu dan bayi, walaupun ini jarang berlaku. Jika perdarahan tidak berhenti, atau jika ibu terus maju ke peringkat kelahiran pramatang, bayi akan terpaksa dilahirkan melalui pembedahan caesarean walaupun jangkaan tarikh bagi kelahiran bukan untuk beberapa minggu lagi.

Plasenta previa boleh dibahagikan kepada empat jenis, yang disenaraikan di bawah, di mana yang dua terdahulu adalah yang paling biasa.
I plasenta terletak rendah di bahagian bawah rahim, namun begitu, bayi masih boleh dilahirkan melalui vagina;
II bahagian bawah pinggir plasenta bertemu dengan pembukaan serviks, tetapi tidak menutupinya, jadi bayi masih boleh dilahirkan melalui vagina;
III plasenta menutupi sebahagian pembukaan serviks, oleh itu, bayi perlu dilahirkan melalui pembedahan caesarean;
IV plasenta menutupi pembukaan serviks sepenuhnya, oleh itu bayi perlu dilahirkan melalui pembedahan caesarean.

Jika anda ada membuat imbasan ultrasound semasa awal kehamilan dan plasenta ternampak seakan-akan terletak berdekatan dengan serviks atau menutupinya, jangan pula anda merasa terlalu bimbang. Itu semestinya bukan plasenta previa. Semasa bayi anda membesar, uterus anda yang mengembang itu akan secara semulajadi, menarik plasenta dan memisahkannya dari serviks. Walaupun plasenta masih terletak rendah semasa imbasan minggu ke-20, ini mungkin bukan lagi merupakan satu masalah apabila anda sudah cukup bulan. Ini adalah disebabkan semasa pembesaran bahagian bawah rahim anda, kebanyakan plasenta seakan-akan "bermigrasi" ke atas di waktu trimester ketiga.

Apakah beberapa petanda amaran plasenta previa?

Perdarahan vagina yang tidak sakit semasa tiga bulan terakhir kehamilan selalunya merupakan petanda amaran dan anda perlu memanggil doktor dengan segera jika ini berlaku. Namun begitu, mungkin tiada petanda amaran langsung dan kenyataan yang anda mempunyai plasenta previa mungkin hanya diketahui semasa imbasan ultrasound.

Lesley, seorang ibu BabyCentre UK, menjalankan imbasan pada minggu ke-16, dan ini menunjukkan yang plasentanya berada dekat dengan serviks. Doktornya tidak begitu bimbang, jadi Lesley meneruskan kehidupannya yang sibuk. Dia pergi untuk percutian berkhemah dan membuat perjalanan ke negara Jerman.

Imbasan seterusnya pada minggu ke-28 menunjukkan yang plasenta Lesley sememangnya menutupi serviksnya. "Doktor saya lebih bimbang dan berwaspada pada kali ini," kata Lesley, "dan meminta saya supaya memaklumkan dia dengan serta merta jika berlakunya sebarang perdarahan." Dia juga dinasihatkan supaya jangan terlalu aktif dan supaya banyak berehat untuk mengurangkan risiko perdarahan. Dia tahu yang bayinya perlu dilahirkan melalui pembedahan caesarean.

Adakah sesetengah wanita lebih berisiko dari yang lain?

Wanita yang mengandung bayi kedua dan seterusnya lebih berisiko daripada wanita yang mengandung bayi pertama. Lebih berisiko lagi adalah wanita yang sebelum itu bersalin melalui pembedahan caesaraean, atau mereka yang sudah melalui kehamilan dengan plasenta previa, atau yang merokok. Namun begitu, kebanyakan wanita dengan plasenta previa tidak mempunyai sebarang faktor risiko yang ketara.

Bagaimana untuk menangani plasenta previa?

Ini bergantung dengan sama ada anda mengalami perdarahan dan pada minggu kehamilan yang berapakah ianya berlaku. Jika keadaan ini didiagnos selepas minggu ke-20, tetapi anda tidak mengalami perdarahan, anda mungkin dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang senaman yang terlalu kencang dan supaya banyak berehat. Sekiranya anda turun darah dengan banyak, anda akan dimasukkan ke hospital supaya pendarahan boleh diawasi dan walaupun ianya berhenti selepas itu, anda mungkin akan diminta tinggal di hospital sehingga bayi anda sedia untuk dilahirkan. Anda akan dinasihatkan untuk tidak mengadakan hubungan seks semasa kehamilan itu sebab ianya akan menerukkan lagi perdarahan dari plasenta yang terduduk rendah.

Lesley mengalami episod perdarahan pertamanya pada minggu ke-32 – kehilangan darah adalah seakan-akan kedatangan haid. Dia disuruh supaya berehat dengan tenang di rumah, tetapi, empat hari selepas itu, dia mengalami perdarahan yang lebih banyak dan dimasukkan ke hospital selama lima hari sebelum dibenarkan balik ke rumah semula.

"Saya dibenarkan pulang hanya sebab suami saya bekerja di rumah," kata Lesley.
"Kalau tidak, saya mungkin diperlukan duduk di hospital sehingga habis tempoh kehamilan." Lesley telah diberikan suntikan steroid untuk membantu paru-paru bayi matang sekiranya ia dilahirkan awal.

Dia masuk ke hospital untuk menjalani pembedahan caesarean pada minggu ke-36. Anaknya dilahirkan dalam keadaan sihat. Lesley kehilangan darah sedikit semasa pembedahan dan memerlukan transfusi darah selepas itu. Dia pulih sembuh sepenuhnya.

Resources: BabyCenter

Info Hamil: Kedudukan Uri Bayi di Bawah

Komplikasi & Info: Kedudukan Plasenta Bayi Berada di Bawah Semasa Mengandung 

Kelmarin petang saya pergi appointment doktor untuk scan keadaan baby saya yg berumur 28 minggu. Lama juga doktor tu check, saya pun hairan juga selalu tengok semua okey, selesai tapi kali ini agak berbeza. Selepas baring dalam lebih 10 minit, saya dimaklumkan oleh doktor bahawa uri bayi saya berada di bawah. Saya pun cari info tentang ini. Sedikit perkongsian buat ibu yang di luar sana yang mungkin senasib seperti saya. 

Uri merupakan organ yang terdapat dalam rahim wanita yang berfungsi untuk membekalkan oksigen dan nutrisi dari si ibu kepada bayinya. Uri di bawah rahim merupakan satu keadaan di mana uri menutupi ruang laluan bayi ketika proses bersalin. Dalam keadaan normal, uri seharusnya berada di atas atau di pertengahan rahim dan bukannya di bawah.

Di awal kehamilan, kebanyakan wanita sememangnya mempunyai uri di bawah rahim. Seiring dengan perkembangan janin bermula minggu ke 28, uri pada situasi normal akan tertarik ke atas rahim. Jika ia masih lagi tidak bergerak ke atas, ia dipanggil sebagai Placenta Previa (PP). Terdapat beberapa keadaan PP samada menutupi keseluruhan pintu rahim atau sebahagiannya saja. Rawatan juga bergantung kepada keadaan uri ketika itu (rujuk gambar di bawah)
kedudukan uri bayi di bawah

Risiko

Kandungan yang mempunyai uri di bawah adalah berisiko untuk kedua ibu dan anak. Pendarahan yng berlaku boleh membawa maut kepada ibu dan bayi yang dilahirkan mungkin tidak cukup bulan. Disebabkan kemungkinan risiko ini berlaku, ibu hamil yang mempunyai uri di bawah perlu lebih berhati-hati dan perlu terus ke hospital sekiranya berlaku pendarahan. Penting juga ibu hamil yang mempunyai uri di bawah mempunyai bacaan hb yang tinggi supaya darah tidak terlalu cair yang boleh menyebabkan maut ketika proses bersalin.

Selain daripada pendarahan, kebiasaannya bayi di dalam rahim juga berkedudukan songsang. Keadaan ini menyebabkan langkah terbaik untuk mengeluarkan bayi adalah melalui pembedahan caeseran. Pembedahan meninggikan lagi risiko kerana uri boleh melekat pada rahim. Keadaan ini dipanggil plecenta accreta di mana uri tidak dapat dipisahkan daripada dinding rahim. Jika berlaku komplikasi ketika pembedahan, rahim mungkin terpaksa dibuang bagi mengelakkan ibu kehilangan nyawa.

Walaubagaimanapun, risiko uri melekat pada rahim hanyalah 5% bagi ibu yang belum pernah melakukan pembedahan caesaren.

Kebiasannya, jika ibu masih tidak menunjukkan tanda-tanda melahirkan dan tiada pendarahan sehingga minggu 38, pembedahan secara efektif akan dilakukan. Apa yang penting, ibu hamil perlu sentiasa membuat pemeriksaan secara berkala untuk melihat kedudukan bayi dan juga uri. Pembedahan caeseran merupakan kaedah terbaik dan selamat bagi kandungan yang mempunyai uri di bawah dengan bantuan perkhidmatan sokongan pakar o&g.

Saya juga mendapat info daripada upline saya yang juga seorang berlatar belakangkan bahagian kesihatan yang mungkin membantu sedikit sebanyak bagi ibu seperti saya ini. Katanya, jangan terlalu penat dan bekerja hingga lewat malam. Dan juga perlu makan Vita-Lea Iron 1 biji 2 kali sehari kerana takut baby kita kekurangan oksigen jika kita kurang bekalan zat besi. Lebih-lebih lagi saya yang pernah dibedah untuk melahirkan anak pertama saya. 

Saya berharap info daripada saya ini sedikit sebanyak memberi kita gambaran yang jelas keadaan kandungan yang mempunyai uri di bawah dan risiko yang bakal berlaku.