Aszda LifeNotes

Friday, 25 September 2015

6 Cara Ajar Bayi Anda Lancar Bercakap


Apabila bayi comel anda sudah mahir berjalan tentu sahaja ingin melihatnya boleh bercakap pula. Rasa tak sabar hendak mendengar perkataan pertama keluar daripada mulut comel tersebut. Tapi bagaimana cara terbaik hendak mengajar si manja bercakap?

Ada teknik tertentukah? Sebenarnya bayi mula belajar bercakap sejak dia pandai mengeluarkan bunyi lagi pada usia 3 -4 bulan.

Pada usianya 8 bulan ke atas, bayi sudah pandai membunyikan perkataan tertentu. Galakkan anak anda banyak bercakap dengan cara kerap melayannya berbual. Walaupun dia kelihatan tidak faham tapi percayalah dia sedang menyimpan apa yang didengarkan itu dalam kotak memorinya.

Jangan melarang anak belajar bercakap, biarpun perkataannya tidak difahami atau berulang-ulang.

Berikut 6 cara merangsang si manja lancar bercakap:

1. Teruskan peniruan

Biarkan anak meniru apa yang anda ucapkan. Ini kerana dia dalam tempoh belajar becakap dan mengumpul perbendaharaan kata. Menghalang anak meniru percakapan anda akan membuatkan anak hilang minat untuk menyebut perkataan yang didengarkannya.


2. Berbual

Ini teknik mudah yang boleh dipraktiskan sejak anak lahir lagi. Kekerapan ibu ayah melayan anak berbual membuatkan si anak lagi cepat bertutur. Dalam masa yang sama dedahkan anak dengan penggunaan bahasa asing seperti Bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin.


3. Ajar sebutan betul

Jangan mengada-ngada untuk mengajar anak anda bercakap pelat. Ajar anak bercakap dengan cara sebutan yang betul. Tidak semestinya bercakap dengan anak kecil perlu bahasa yang pelat.


4. Kata-kata negatif

Pendedahan kepada pelbagai bahasa negatif daripada persekitaran seperti orang sekeliling, televisyen dan sebagainya boleh membuatkan si kecil pandai menuturkan kata-kata negatif. Nasihatkan anak kecil yang tidak tahu apa yang dituturkan itu.


5. Ajar perkataan positif

Beri dorongan kepada anak untuk bercakap bahasa yang sopan. Misalnya, ajar ungkapan "terima kasih", "minta maaf" untuk semua perbuatan yang dia atau anda lakukan. Secara tidak langsung anak tahu penggunaan perkataan itu pada situasi yang bagaimana.


6. Pengulangan

Si kecil bukan belajar bercakap dalam masa sehari sahaja. Tetapi ibu ayah perlu rajin mengulang perkataan yang sama setiap hari. Lama kelamaan dia akan pandai bertutur dengan sendiri. Yang penting ibu ayah tidak malas melakukan rangsangan ini!


Resources: Pa&Ma@Karangkraf

Info Hamil: Wanita Hamil Juga Perlu Jaga Badan

3 Alasan Ibu Mengandung Tetap Perlu Jaga Badan


Kehamilan selalu dijadikan alasan untuk bakal ibu makan sebanyaknya dan malas melakukan sebarang aktiviti senaman.Hakikatnya ia hanya mitos. Memang benar ibu hamil tidak boleh mengamalkan diet tetapi bukan bermaksud makan tanpa had semua makanan sehingga berat badan bertambah daripada yang sepatutnya menjelang hari kelahiran. Akibatnya selepas melahirkan bayi, ibu sukar mendapatkan kembali badan sebelum mengandung.


Alasan #1: Ingin Makan Terus

Istilah makan untuk dua orang adalah alasan paling popular yang diguna pakai oleh wanita hamil untuk membolehkan dia memenuhi selera makan yang meningkat. Sebenarnya ia memang perkara normal dalam kalangan ibu mengandung dan sememangnya ia perlu kerana bakal ibu memerlukan peningkatan jumlah nutrisi bagi membekalkan kepada janin dalam kandungan. Tetapi ibu hanya perlu meningkatkan pengambilan khasiat dalam pemakanan dan bukan kalori!

Secara umum, sepanjang kehamilan, bakal ibu hanya perlu menambah sebanyak 300 kalori setiap hari. Oleh itu awasi apa yang dimakan. Pastikan makanan tersebut membekalkan jumlah kalori yang diperlukan dan bukan makan apa sahaja makanan yang tidak berkhasiat dan tinggi kalori. Ini kerana dibimbangi, peningkatan berat badan mendadak ketika mengandung akan berisiko membuatkan ibu mendapat penyakit diabetes atau darah tinggi. Jangan terkejut jika doktor meminta ibu melakukan diet jika kenaikan berat melebih had normal wanita hamil!


Alasan #2: Perasaan Malas

Rasa malas ketika mengandung mungkin disebabkan perubahan hormon yang berlaku dalam badan. Akibatnya ia membuatkan ibu rasa malas hendak banyak bergerak dan ingin berehat sahaja. Sebenarnya memang tidak salah sesekali ibu hendak bermalas-malasan di rumah, atau malas masak. Memang seronok jika hanya berehat di rumah sambil menonton TV atau tidur sahaja seharian di hujung minggu tetapi jika diikutkan rasa malas ini boleh berlarutan sehingga menyukarkan proses bersalin kelak. Sebenarnya semakin besar perut anda, semakin perlu ibu banyak bergerak, supaya memudahkan proses kelahiran bayi kelak. Ibu hamil yang banyak bergerak juga dapat mengurangkan kenaikan berat badan berlebihan terutama di akhir kehamilan.
Mungkin anda hanya perlu membuat perkara yang menggembirakan anda seperti mengemas bilik tidur bakal bayi atau sekadar bersiar-siar di pusat membeli belah.


Alasan #3: Tak Mahu Bersenam

"Kena bersenam juga? Saya kan mengandung!"

Ia salah satu alasan paling klise yang diberi oleh kebanyakan ibu hamil. Memang logiknya ibu hamil tidak boleh sesuka hati melakukan aktiviti senaman seperti belum hamil selain keadaan perut yang semakin membesarkan membuatkan ibu sukar bergerak. Namun, senaman ringan seperti berkebun di halaman rumah, berjalan di taman atau berenang, memberikan banyak kesan positif kepada kesihatan ibu juga anak dalam kandungan.

Sekurang-kurangnya luangkan masa 30 minit sehari untuk menggerakkan otot badan. Selain menyihatkan badan, ia juga membantu mengurangkan tekanan dan dapat mengurangkan risiko dijangkiti diabetes kerana kenaikan berat badan berlebih, dan membantu memlancarkan proses bersalin kerana fizikal yang sihat.


Resource: Pa&Ma@Karangkraf