Aszda LifeNotes

Thursday, 17 September 2015

Info Kanak-Kanak: Aktiviti Stimulasi Buat Si Comel Anda

10 Aktiviti Rangsang Fizikal & Mental Anak Genius


Kanak-kanak dan bermain memang tak boleh dipisahkan. Tetapi dalam masa yang sama, sebagai ibu ayah kita perlu juga memupuk minat untuk mereka belajar. Tetapi jangan pula memaksa si kecil untuk belajar seperti kanak-kanak yang sudah ke sekolah rendah. Belajar tidak semestinya terperuk dalam bilik dan menghadap buku semata-mata.

Ada banyak cara pembelajaran si manja yang boleh anda lakukan. Malahan tanpa disedari aktiviti luar rumah yang menyeronokkan juga mampu merangsang fizikal dan mental anak membesar sebagai anak sihat dan cerdas.


1. Jom berseronok di taman permainan

Biarkan si kecil berlari bebas dan mencuba pelbagai alat permainan yang ada di taman permainan. Aktiviti ini mampu menguatkan badan dan ototnya.Selain itu anak juga belajar kemahiran sosial apabila berjumpa dengan rakan sebaya.

2. Kulihat hijau

Dengan sekadar bersiar-siar dan berjalan pada waktu petang di halaman rumah atau kawasan sekitar rumah anda sambil belajar mengenali pelbagai pokok yang ada juga satu cara si kecil belajar. Ajak anak sentuh dan hidu bau pokok, bunga dan embun pagi yang ada di halaman rumah. Biarkan anak anda terdedah kepada pancaran cahaya matahari (pagi lebih selamat) dan hembusan bayi yang pasti memberikan dia pengalaman baru.

3. Berenang

Kanak-kanak memang suka bermain air. Apa kata gunakan cuti hujung minggu dengan membawa anak ke kolam renang. Mereka tentu seronok belajar berenang selain aktiviti renang membantu menguatkan sistem kardio-respiratori, menambah stamina dan menguatkan sendi. Selain kecergasan badan, ia membantu meningkatkan keyakinan diri.

4. Bermain pasir pantai

Sesekali biarkan anak bermain pasir di tepi pantai. Pasir mempunyai tekstur halus dan akan merangsang deria sentuhan, kemahiran mata - tangan. Aktiviti membina istana pasir akan menggalakkan si manja berimaginasi dan mereka cipta. Malah ia membantu meningkatkan daya kreatif kanak-kanak apabila mencipta pelbagai bentuk daripada pasir.

5. Berkebun

Jika anda ada halaman rumah, rajinkan diri untuk berkebun. Selain menyihatkan tubuh badan, aktiviti berkebun juga mengajar si cilik erti tanggungjawab, disiplin tanpa perlu dipaksa, menghargai alam semula jadi, mempelajari sains dan pek kepada alam semula jadi. Dengan berkebun, ia mengajar anak erti tanggungjawab untuk menjaga pokok-pokok dengan menyiramnya. Malahan ia meningkatkan keyakinan diri apabila dia menyaksikan pertumbuhan pokok tersebut di samping menambah ilmu pengetahuan anak tentang pokok.

6. Bermain belon

Warna warni belon memang mengujakan kanak-kanak. Belon adalah mainan yang murah tetapi memberikan keriangan kepada si manja. Aktiviti ini dapat meningkatkan kemahiran motor kasar dan koordinasi mata - tangan anak. Menepuk belon kepada orang lain akan meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial si manja.

7. Bermain bola

Bermain bola memang sinonim dengan anak lelaki. Tetapi si anak perempuan juga boleh bermain bola bersama. Aktiviti ini dapat mengeluarkan peluh dan menyihatkan tubuh badan. Anda boleh membaling bola kecil kepada si manja dan menyuruhnya menyambut bola serta memasukkan ke dalam bakul. Permainan ini dapat melatih kemahiran otot tangan dan koordinasi mata - tangan anak di samping menambah daya intelek anak menerusi pemahaman peraturan permainan.

8. Melukis di luar

Mungkin melukis di dalam rumah anak akan berasa bosan, jadi apa kata sesekali bawa anak ke taman dan berikan pensil, warna dan kertas kepadanya. Biarkan si kecil melukis apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Cara ini membantu merangsang daya kreativiti dan imaginasi kanak-kanak. Kemudian tanya kepada anak tentang hasil lukisannya dan jangan lupa berikan pujian dan kata-kata positif. Ini dapat meningkatkan imaginasi, kemahiran otot tangan dan keupayaan pertuturan serta tata bahasa si manja dalam menerangkan apa yang dilukisnya.

9. Bermain dengan haiwan peliharaan

Kanak-kanak suka kepada haiwan. Jika mendedahkan mereka bermain dengan haiwan peliharaan kanak-kanak belajar untuk bertanggungjawab dan menyayangi haiwan. Aktiviti ini melatih pelbagai aspek kognitif, sosial, emosi dan fizikal. Pemerhatian dan penyeliaan ibu bapa diperlukan supaya anak mencapai potensi optimum dalam dirinya.

10. Membeli belah bersama

Bawalah si kecil membeli barangan keperluan rumah bersama. Dedahkan dia kepada cara membeli belah yang bijaksana tanpa perlu membazir. Terangkan apa tujuan dan kenapa membeli sesuatu barangan itu. Ini membantu menambah pengetahuannya. Anda boleh menyuruhnya mengira jumlah barangan yang dibeli dan mengingat apa barangan rumah yang diperlukan. Secara tidak langsung ini dapat mengajarnya bertanggungjawab. Bagi yang beragama Islam, beri pendedahan kepada anak mengenai kepentingan logo HALAL yang mesti ada sebelum memilih apa jua barangan.

Resources: Pa&Ma @ Karangkraf

No comments:

Post a Comment

Thank you for visiting us. If you have any comments please leave your suggestion or any issue related. Tq.

🌻Asda HealthJourney🌻
🎂Cake Batique Ummi🎂