Lipas merupakan salah satu serangga perosak yang kurang disenangi ramai orang. Ia menyebabkan kerosakan yang serius pada kertas dinding, buku, pakaian dan perabot. Tidak kurang juga ada di antara kita yang memang tidak boleh terserempak langsung dengan serangga itu dan yang paling teruk, ada pula yang tidak tahan dengan bau kehadirannya.
Masalahnya apabila ia sudah berada di dalam rumah, ia akan mula membiak dengan cepat dan agak mustahil pula untuk menyingkirkannya.
@ Anda boleh membuat racun serangga organik buatan sendiri dengan mencampurkan soda penaik dan gula sama banyak. Letakkan campuran ini di dalam pinggan-pinggan cetek yang diletakkan di lokasi lipas bersembunyi. Lipas akan memakan campuran ini kerana ia manis. Walau bagaimanapun gas daripada soda penaik pula akan membunuhnya secara dalaman.
@ Gunakan daun pandan untuk mengelakkan lipas secara semula jadi. Daun pandan mengeluarkan bau kuat yang dikatakan mengganggu sistem pernafasan atau sistem saraf lipas. Ikat 3-5 helai daun pandan dan letakkannya di dalam mangkuk kecil. Mangkuk-mangkuk ini pula diletakkan di lokasi lipas berkeliaran. Gantikan daun pandan seminggu sekali apabila baunya sudah berkurangan.
Cara di atas boleh dicuba untuk mengurangkan kehadiran lipas di rumah. Namun begitu, cara yang terbaik untuk mengelakkan lipas ialah dengan mengelakkannya datang ke rumah anda!
a) Pastikan dapur sentiasa bersih, dan sampah dibuang sekerap yang mungkin.
b) Bersihkan tumpahan dan gris dengan cepat.
c) Lipas juga tidak boleh hidup tanpa air dan jika boleh, elakkan air yang bertakung.
d) Jangan biarkan makanan tanpa bertutup.
e) Jika ada bukaan kecil, pastikan ia ditampal. Dalam erti kata lain, elakkan kewujudan pintu masuknya.
f) Buangkan barang-barang yang menyemakkan rumah seperti surat khabar lama, majalah dan beg plastik yang tidak digunakan. Ini adalah kerana ia merupakan makanan kepada lipas.
Dengan menggunakan kaedah penyingkiran lipas secara semula jadi ini, anda bukan sahaja dapat menyingkirkan serangga perosak ini tetapi juga membantu memastikan keluarga anda selamat dari penyakit yang mungkin dibawa oleh serangga ini.