Tuesday, 28 October 2014

Sarapan Berkhasiat, Badan Sihat

Kajian terkini menunjukkan, orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan lebih baik. 

Menurut pakar pemakanan, Madhavi Rai, sarapan sumber pertama memulakan hari dan konsepnya sama seperti berbuka puasa. Ini kerana apabila tidur, badan bukan saja berehat tetapi juga berpuasa iaitu membabitkan tempoh tenaga digunakan tetapi tiada yang diganti semula.

Apabila bangun, sarapan bertindak memberitahu badan inilah masa mengelak daripada rasa lapar melampau.

Walaupun hanya me­ngambil snek ringkas, ia sudah cukup untuk membantu mengurangkan berat badan, merendahkan tahap kolesterol, tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung. 

Pemilihan sarapan yang baik seharusnya membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari. 

Sebaik-baiknya, individu perlu mengambil 300 hingga 500 kalori ketika bersarapan dan ini bergantung kepada aktiviti seseorang. Sarapan yang baik bukan saja menge­nyangkan tetapi mengandungi sumber protein dan karbohidrat kompleks yang memberikan sumber tenaga perlahan untuk kekal cergas sepanjang hari. 

Walaupun jumlah kalori makanan penting, nilai pemakanan harus diambil kira. Bersarapan dengan hidangan kurang berkhasiat boleh menyebabkan pertambahan berat badan terutama bagi mereka yang tidak bersenam atau mempunyai gaya hidup kurang aktif. 

“Jenis sarapan yang patut dielakkan ialah semua hidangan bergoreng seperti ayam dan kentang goreng, makanan mengandungi gula tinggi seperti kek, biskut, wafel dan roti bakar serta makanan berkarbohidrat ringkas seperti roti putih, roti canai dan nasi lemak. 

Jenis sarapan untuk serat tinggi atau karbohidrat kompleks yang patut diambil termasuk gandum, dadih dan bijirin manakala sumber protein terbaik seperti putih telur, ayam, tuna, susu rendah lemak, buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya. 

Walaupun sarapan ring­kas sudah mencukupi, tidak semua memberikan nilai kalori mencukupi. Misalnya secawan minuman coklat dan sekeping biskut hanya memberikan tenaga 150kcal. Sudah tentu ia tidak mencukupi dengan pecahan nutrisi diperlukan tubuh seperti gula, karbohidrat, protein, serat, vitamin dan mineral 
Selain itu, kadar pe­ngambilan sarapan juga bergantung kepada aktiviti fizikal seseorang. Individu yang melakukan kerja fizikal pada siang hari perlu mengambil makanan yang akan memberikan tenaga mencukupi. 

Mereka yang sentiasa aktif bergerak dan tidak mempunyai masa bersarapan boleh mempertimbang­kan membungkus sarapan yang dilakukan pada malam hari. Mereka juga boleh mengambil pengganti hidangan seperti minuman buah-buahan berkhasiat dengan susu dan dadih. Ini akan membendung rasa lapar tiba-tiba pada siang hari berbanding mengambil makanan berat. 

Fakta penting yang harus difahami, mengapa kita makan? Jelas Madhavi, makan untuk menambah dan menyimpan tenaga dalam badan. Malangnya apabila seseorang itu mengambil lebih daripada nilai kalori diperlukan, sebahagian makanan yang dimakan bertukar menjadi lemak. 

Menjadi kebiasaan rakyat Malaysia bersarapan dengan menu berlauk seperti nasi dagang, nasi kerabu dan nasi lemak yang bukan hanya menggunakan beras putih semata-mata tetapi dimasak dengan santan yang menjadikan hidangan terlalu berat. 

“Walaupun ia dianggap biasa untuk orang Asia makan nasi sehingga tiga dan empat kali sehari, saya mencadangkan individu membuat pilihan lebih sihat iaitu mengurangkan pengambilan nasi atau mengelak mengambilnya ketika makan tengah hari dan malam. Sebagai alternatif, mereka boleh me­ngambil menu berkarbohidrat kompleks seperti roti mil penuh dan bijirin manakala penggemar jus buah-buahan atau smoothie boleh mengambilnya setiap pagi,” katanya. 

Untuk itu, pengambilan sarapan berasaskan makanan mengandu­ngi protein tinggi harus diperba­nyakkan bagi membolehkan tenaga dikeluarkan dari semasa ke semasa, sekali gus membendung rasa lapar sebelum makan tengah hari. 

Kanak-kanak yang cenderung menggunakan lebih banyak tenaga daripada orang dewasa harus mengambil makanan mengandungi protein mudah hadam seperti telur separuh masak, susu dan keju, makanan berasaskan karbohidrat seperti roti bakar dan bijirin serta buah-buahan atau madu. 

Ibu bapa harus bijak menyediakan hidangan pelbagai warna dan rasa bagi menarik perhatian terutama kanak-kanak yang sering menghadapi masalah bersarapan. 

“Lobak merah, strawberi, epal dan oren antara hidangan yang mampu menambah selera kanak-kanak. Selain itu, ibu perlu kreatif dari segi pembungkusan makanan menggunakan bekas berwarna-warni. Anak-anak juga boleh terbabit dalam penyediaan makanan supaya mereka lebih berminat pada makanan sihat,” katanya. 


Pilih makanan sesuai 

Jika ada mengatakan sarapan menyebabkan rasa mengantuk serta hilang tumpuan, Madhavi menolak pandangan ini dan menjelaskan individu yang kurang bertenaga dan mengantuk selepas bersarapan disebabkan pengambilan makanan tinggi gula dan karbohidrat, sekali gus menyebab­kan peningkatan tahap gula dalam darah. 

Bagaimanapun, kandungan gula ini akan turun secara mendadak menyebabkan badan kurang bertenaga, lemah, mengantuk serta berkeinginan untuk makan makanan mengandungi tinggi gula dengan banyak. 

“Jadi, amat penting individu memilih jenis makanan sesuai bagi memastikan badan berada dalam keadaan baik. Contohnya, pisang sumber kalium dan mineral terbaik untuk jantung dan menstabilkan tekanan darah. Ia juga terkenal sebagai makanan pelindung ulser perut dan gastrik. Campuran susu rendah lemak, pisang dan buah beri mengandungi vitamin C dan antioksidan yang hebat serta mampu menjadi sarapan berkhasiat terutama untuk mereka yang jarang bersarapan,” jelasnya. 

Walaupun kedengaran agak mustahil, apabila sarapan mampu menurunkan berat badan, itulah hakikatnya. Mereka yang sedang berdiet perlu menjadikan sarapan sebagai pembuka hidangan utama. Ini boleh dilakukan dengan me­ngambil tiga hidangan utama dan dua snek kecil di antara waktu makan untuk mengelak badan daripada memberikan isyarat lapar serta makan dengan lebih kerap. 

“Apabila badan berada dalam keadaan lapar, mereka akan makan apa saja, sekali gus menyebabkan pengumpulan lemak degil dalam badan dari semasa ke semasa,” jelasnya yang mengakui tiada waktu terbaik mengambil sarapan. 

Namun sebaiknya selepas bangun tidur, minum segelas air dan tunggu sehingga 30 hingga 45 minit sebelum makan. Segelas air membantu memberikan rasa selesa, sekali gus menghalang daripada terus mengambil sarapan dengan banyak.

No comments:

Post a Comment

Thank you for visiting us. If you have any comments please leave your suggestion or any issue related. Tq.

🌻Asda HealthJourney🌻
🎂Cake Batique Ummi🎂