ENT/TELINGA, HIDUNG & TEKAK, HEALTH EDUCATION
November 19, 2014
Kita kadangkala ada melihat bukaan kecil di hadapan telinga. Ini digelar sinus preauricular (bermaksud: pre-sebelum, auricular-telinga). Sinus ialah sebarang saluran di bawah kulit dengan satu pembukaan di kukit. Harap anda tidak keliru dengan sinus hidung. Biasanya, ia tidak mendatang sebarang bahaya. Tetapi di kalangan kecil, ia boleh menjadi bengkak, merah & sakit. Saya akan menerangkan perihal penyakit ini.
Telinga kita terbentuk dari beberapa bonjolan kecil semasa pembentukan janin. Bonjolan ini akan berlingkar menjadi bulatan dan menjadi cuping telinga. Bila wujud satu ruang kosong antara bonjolan ini, satu lubang akan terbentuk di luar dan terdapat saluran kecil yang terbentuk di bawah kulit tersebut. Ia biasa kelihatan di bahagian hadapan telinga, tetapi antara golongan kecil ia boleh terjadi di mana sahaja bahagian telinga luar.
Wanita ini mempunyai sinus preauricular di kedua belah telinga. Tetapi hanya sebelah sahaja yang mrngalami jangkitan berulang.
Imej 1: Sinus preauricular kiri, tiada jangkitan.
Anda dapat perhatikan lekukan kecil di hadapan telinga kiri, ini tidak menunjukkan sebarang jangkitan.
Imej 2: Sinus preauricular kanan dengan tanda jangkitan & parut lama, tetapi tiada jangkitan ketika ini.
Anda dapat perhatikan parut dan kemerahan di hadapan sinus preauricular telinga kanan, di mana di bawah kulit ini terdapat bisul dan nanah sebelum ini (sebahagiannya dilitupi oleh plaster dalam gambar ini). Saya akan menunjukkan bagaimana kami mengeluarkan saluran tersebut. Pembedahan boleh dijalankan secara bius setempat atau bius am.
Imej 3: Kawasan pembedahan dicuci & dilitupi oleh kain. Bebola kapas diletakkan di dalam salur telinga untuk menghindari cecair mengalir ke dalam salur telinga.
Kawasan pembedahan dibersihkan dengan iodin dan dialas untuk mengekalkan kawasan steril.
Imej 4: Saluran tersebut dibesarkan oleh sejenis besi tumpul untuk memudahkan kemasukkan pewarna nanti.
Imej 5: Suntikan pewarna biru ke dalam saluran preauricular sinus.
Kami biasanya memilh pewarna metilin biru (methylene blue) untuk disuntik ke dalam sinus. Ini untuk mengesan selaput saluran. Sekiranya terdapat kebocoran, warna biru akan kelihatan.
Imej 6: Kulit disuntik dengan ubat ‘marcaine adrenaline’.
Suntikan ubat bius setempat dengan adrenaline ialah untuk mengurangkan sakit pasca pembedahan dan untuk mengurangkan perdarahan semasa pembedahan.
Belahan di kulit dibentuk di sekeliling lekukan tersebut dan potongan dipanjangkan ke bawah mengikut arah saluran di bawah kulit. Diseksi dilakukan mengikut saluran sehingga penghujung salur. Prosedur ini mengambil masa lebih kurang 30 minit. Perlu diingatkan bahawa saluran tersebut mesti dipotong dengan lengkap. Jika tidak, penyakit ini boleh berulang.
Imej 7: Saluran tersebut dibedah dengan menggunakan ‘artery forcep’ di tangan kanan sementara ditarik dengan tangan kiri menggunakan ‘Allis forcep’.
Imej 8: Rupa saluran yang telah dibedah. Lekukan pada kulit kelihatan di bahagian atas spesimen.
Perdarahan dihentikan, kawasan pembedahan dicuci dengan air suling steril dan kulit dijahit semula. Jahitan boleh dilakukan di bawah kulit tanpa dibuka semula. Di sini, kami menggunakan benang Nylon yang akan dibuka dalam 7 hari.
Imej 9: lima jahitan nylon digunakan semasa kes ini.
Akhirnya, balutan digunakan dan akan dibuka hari seterusnya.
Imej 10: Balutan diletakkan untuk menyerap darah dan bendalir dari tempat jahitan.
Rawatan susulan akan dilakukan dalam beberapa minggu selepas ini. Ada segolongan kecil memerlukan pembedahan semula sekiranya jangkitan berulang. Kadangkala jangkitan yang teruk ada pembentukan nanah. Kami sedaya upaya mengelakkan dari memotong kulit untuk mengeluarkan nanah kerana parut akan terjadi dan mengakibatkan pembedahan di atas susah dilakukan. Pengeluaran nanah dengan jarum lebih sesuai pada ketika ini.
(Penghargaan: Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pesakit, ibubapa dan kakitangan yang memberi kebenaran mengambil gambar mereka bagi tujuan pendidikan kesihatan bagi pihak awam)
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
Outcome of Patients Presenting With Preauricular Sinus in a Tertiary Centre – A Five Year Experience
I P Tang, MD, S Shashinder, MS (ORL-H&N), S Kuljit, MS (ORL-H&N), K G Gopala, FRCS
Med J Malaysia Vol 62 No 1 March 2007
No comments:
Post a Comment
Thank you for visiting us. If you have any comments please leave your suggestion or any issue related. Tq.
🌻Asda HealthJourney🌻
🎂Cake Batique Ummi🎂