Friday, 28 November 2014

“Saya Tidak Mahu Tulang Belakang Anak Saya Ditebuk!” – Dr. Alya Hamzah

Pengenalan
Respon di atas kadang kala kedengaran di hospital tempatan apabila doktor yang merawat seorang kanak – kanak mengemukakan cadangan kepada ibubapa atau penjaga mengenai keperluan untuk mendapatkan sampel air tulang belakang. Walaupun kemodenan telah meresapi segenap aspek kehidupan masyarakat kita, namun sesetengah persepsi agak sukar diubah mengenai sesuatu perkara. Antaranya adalah prosedur mengambil air tulang belakang atau ‘lumbar puncture’ (LP). Adalah diharap dengan artikel ini, persoalan dan kekeliruan tentang prosedur tersebut dapat terlerai.

Apakah air tulang belakang?
Sebelum kita mengupas subjek ini, mari kita mengenali dahulu anatomi badan yang terbabit.
Otak dan saraf tunjang  merupakan organ yang ‘tersimpan’ dalam susunan yang sangat rapi. Kedua duanya diselaputi sejenis tisu yang dipanggil ‘meninges’. Otak terletak di dalam struktur  tengkorak yag utuh. Saraf tunjang pula, rangkaian tisu yang bermula daripada bahagian bawah otak, mengunjur kearah bawah badan di dalam perlindungan tulang belakang yang dekenali sebagai tulang vertebra (vertebrae).Tulang belakang atau tulang vertebra ini agak unik kerana ia tidak bersambung seperti sebatang tiang contohnya, namun ia berupa ‘bongkah – bongkah’ kecil yang tersusun rapi di atas satu sama lain. Tulang tulang vertebra ini bersambung antara satu sama lain dengan struktur yang dikenali sebagai ‘spinal disc’ yang memainkan peranan menyerap sebarang impak dalam manusia menjalani aktiviti kehidupan seharian.

Otak dan saraf tunjang ini sentiasa dibasahi cecair yang dikenali sebagai air tulang belakang atau ‘Cerebrospinal Fluid ‘ (CSF).  Air tulang belakang atau CSF dihasilkan di dalam otak sepanjang masa. CSF yang dihasilkan melalui sistem saluran khas di dalam otak turun membasahi  rangkaian saraf tunjang. Air yang terkumpul di bahagian bawah di sekitar saraf tunjang tersebut akan diresap kembali untuk dikembalikan kepada otak di mana  proses penghasilan CSF ini bermula lagi. Antara fungsi CSF adalah melindungi otak dan saraf tunjang  daripada hentakan kepada dinding tengkorak dan juga tulang vertebra yang keras.

Apakah prosedur ini sebenarnya?
Prosedur ‘lumbar puncture’ merupakan proses untuk mendapat akses kepada CSF atau ruang dimana tersimpannya cecair tersebut. Setelah akses ini diperolehi, pelbagai tujuan dapat dicapai bergantung kepada situasi klinikal yang dihadapi. Seperti yang diterangkan di atas, bahagian otak dan saraf tunjang tersimpan dalam keadaan yang sangat rapi. Ia adalah sangat sukar bagi doktor yang merawat untuk melakukan evaluasi terhadap sistem saraf tersebut apabila seseorang pesakit disyaki menghadapi sebarang masalah berkaitan. Kelebihan memperolehi akses kepada CSF atau ‘ruang’ itu tadi , doktor dapat menjalankan evaluasi dan siasatan yang lebih terperinci agar diagnosis yang tepat dan rawatan yang paling sesuai dapat diberikan.
tulang belakang

Mengapakah prosedur in dilakukan?
Dalam pesakit kanak kanak, antara indikasi utama utntuk melakukan LP adalah apabila anak itu disyaki menghidapi radang otak akibat draipada jangkitan. Ini kerana ujian lain seperti sampel darah dan ujian ‘scan’ pada otak sahaja tidak memadai untuk mencapai diagnosis yang tepat.
Tambahan pula, kadang kala kanak-kanak yang menghidapi jangkitan otak tidak menunjukkan tanda- tanda ‘klasik’ atau biasa jangkitan tersebut. Ini menyukarkan para doktor untuk membuat diagnosis.
Dengan adanya CSF, analisis terperinci dapat dibuat agar rawatan yang diberikan kepada pesakit adalah tepat dan terbaik. Sekiranya sampel ini tidak diperolehi, rawatan akan diteruskan juga mengikut ‘bukti-bukti’ klinikal yang sedia ada. Namun, kehadiran organisma yang menyebabkan jangkitan tidak akan dapat dibuktikan. Kesukaran akan timbul sekiranya kanak- kanak tersebut tidak menunjukkan tindak balas yang baik terhadap rawatan awal. Ini akan merumitkan rawatan seterusnya kerana doktor tidak mempunyai ‘bukti’ utuh untuk memandukan pelan rawatan ke atas pesakit.
‘Lumbar puncture’ juga boleh dilakukan untuk memberi ubat – ubatan ataupun untuk mengurangkan tekanan  di dalam ruang otak dalam kes- kes terpilih.

Bagaimanakah prosedur ini dijalankan?
Prosedur ini selalunya memakan masa dalam 20 hingga 30 minit. Bergantung kepada keaadan pesakit, ubat pelali mungkin diberi ataupun tidak. Tiada persiapan khas yang diperlukan untuk pesakit. Prosedur ini dilakukan dalam keadaan steril dan menggunakan sebatang jarum khas.
Sebelum itu, ubat untuk mengurangkan sakit akan diberikan dalam bentuk krim pada kawasan tulang belakang. Ubat tahan sakit berbentuk suntikan kadang kala diberikan bergantung kepada usia dan keadaan klinikal. Doktor akan memilih kawasan yang hendak dicucuk iaitu di antara tulang-tulang vertebra dan di kawasan yang jauh daripada rangkaian saraf tunjang. Jarum ini kemudiannya  dimasukkan ke kawasan yang telah dipilih. Air tulang belakang akan keluar melalui jarum dan dikumpul untuk analisis. Hanya beberapa titis shaja yang diperlukan untuk analisa.
Setelah itu , jarum akan dikeluarkan dan kawasan tersebut akan ditutupi dengan ‘pressure dressing’ untuk beberapa ketika untuk memastikam tiada pendarahan atau pembocoran air tulang belakang.

Apakah komplikasi yang boleh berlaku?
Dalam kanak-kanak yang didapati sesuai untuk menjalani prosedur LP, komplikasi yang boleh terjadi adalah perasaan sakit dibahagian yang dicucuk untuk beberapa jam. Ada juga sesetengah anak -anak yang akan mengadu pening kepala tetapi kedua-dua keadaan ini adalah sementara dan pesakit akan dinasihatkan untuk baring atau berehat untuk beberapa jam dan juga untuk meningkatkan pengambilan air.
Oleh kerana tempat dimana jarum tersebut dimasukkan adalah jauh daripada saraf tunjang, isu pesakit menjadi lumpuh tidak timbul. Tulang belakang atau vertebra juga tidak dicederakan memandangkan  kawasan yang dicucuk adalah ‘ruang’ di antara tulang tersebut.
Air tulang belakang yang diambil akan ‘diganti’ semula oleh otak kerana seperti yang diterangkan, proses penghasilan CSF adalah suatu proses yang berterusan.
Komplikasi lain yang  boleh timbul adalah radang atau jangkitan di kawasan yang dicucuk tetapi ini sangat jarang berlaku kerana prosedur in dilakukan dalam keadaan steril oleh doktor yang terlatih.

Adakah prosedur in selamat ?
Dalam kes-kes yang telah ditentukan sesuai oleh Doktor yang merawat, prosedur LP adalah satu prosedur yang selamat. LP sangat  penting dalam membantu penyiasatan penyakit berkaitan dengan otak dan saraf tunjang serta penyakit-penyakit tertentu yang lain. Adalah normal untuk ibu bapa merasa risau apabila doktor mengesyorkan prosedur tersebut dan staf yang terlbat seharusnya sensitif dengan perasan ibubapa. Namun kedua-dua pihak ibubapa dan doktor yang merawat bolehlah saling berbincang agar sebarang keraguan dan persoalan dapat ditangani dengan cara yang terbaik.

Dr. Alya Hamzah merupakan pegawai perubatan paediatrik yang kini bertugas di Sabah. Beliau amat mementingkan pendidikan pesakit dan keluarga pesakit dalam memastikan rawatan yang diberikan adalah optimum. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

No comments:

Post a Comment

Thank you for visiting us. If you have any comments please leave your suggestion or any issue related. Tq.

🌻Asda HealthJourney🌻
🎂Cake Batique Ummi🎂