Friday 17 June 2016

5 Punca Anak Kurang Berat Badan. Anak Anda Ada Salah Satu Daripadanya?

Oleh: Hasnita PAMA

Soalan

Anak perempuan saya berusia 16 bulan. Berat badannya baru mencecah 7.8 kg. Anak saya minum susu ibu sepenuhnya dan tidak mempunyai masalah pemakanan. Pendek kata semua menu makanan yang dihidangkan akan dimakan dengan habis.

Baru-baru ini doktor memberitahu anak saya mempunyai berat badan tidak sesuai dengan usianya. Mengikut graf, anak saya berada di garisan paling bawah dan hampir mencecah bayi ‘underweight’.

Persoalannya apa yang perlu saya lakukan lagi untuk menaikkan berat badan anak? Untuk pengetahuan doktor, anak saya lahir dengan berat 3kg pada usia kehamilan 37 minggu. Perlukah anak saya diberi suplemen? Adakah anak saya memang ‘underweight’ atau normal?

Jawapan

Kebanyakan kanak-kanak akan membesar dan menambahkan berat badan dengan cepat dalam beberapa tahun pertama kehidupan. Tetapi dalam beberapa kes, kanak-kanak tidak memenuhi standard pertumbuhan yang diharapkan mengikut graf tumbesaran masing-masing.

Pertumbuhan yang lemah biasanya menggambarkan kanak-kanak yang berat semasa, atau kadar pertambahan berat badan, adalah jauh di bawah yang diharapkan daripada kanak-kanak yang sama umur dan jantina yang sama.

Kegagalan pertumbuhan/tumbesaran bukanlah satu penyakit. Sebaliknya, ia adalah tanda bahawa kanak-kanak kekurangan zat makanan. Secara umum, kanak-kanak yang gagal untuk membesar mengikut graf masing-masing tidak menerima atau tidak boleh mengambil, menyimpan, atau menggunakan kalori yang akan membantu mereka membesar dan menambahkan berat badan.

Masalah ini perlu di kesan awal kerana pada tahun pertama kelahiran adalah satu masa penting dalam pembangunan fizikal dan mental. Pemakanan yang tidak sihat atau tidak mencukupi dalam tempoh ini mungkin mempunyai kesan pada perkembangan otak. 

Diagnosis

Kebanyakan bayi melalui tempoh singkat di mana mereka akan kehilangan berat badan sedikit, kerana dijangkiti virus sama ada di salur pernafasan atau sistem penghadaman yang menyebabkan mereka kurang selera makan atau muntah-muntah dan cirit-birit. Ini bukan sesuatu yang luar biasa.

Walau bagaimanapun, jika berat badan bayi turun selama tiga bulan berturut-turut pada tahun pertama kehidupan, dan keluar dari graf tumbesaran mereka, doktor biasanya menjadi prihatin.

Doktor menggunakan carta pertumbuhan standard untuk memplotkan berat badan, panjang/ketinggian, dan lilitan kepala, yang diukur pada setiap pemeriksaan kanak-kanak. Ukuran kanak-kanak yang mencecah garisan bawah daripada graf memerlukan penilaian yang sempurna dari pakar perunding kanak-kanak.

Untuk memahami masalah anak anda, doktor akan meminta sejarah kesihatan kanak-kanak secara terperinci, termasuk sejarah pemakanan dan diet anak anda. Ini membantu doktor memahami masalah pemakanan anak anda. Pakar pemakanan atau lain-lain profesional penjagaan kesihatan juga boleh terlibat dalam proses ini.

Doktor mungkin akan membuat ujian darah dan air kencing untuk memeriksa sebarang masalah perubatan. Jika satu penyakit tertentu disyaki, doktor mungkin membuat ujian lain untuk memeriksa keadaan itu.

Punca

Masalah ini adalah multifaktorial dan sering melibatkan masalah diet dan tingkah laku pemakanan kanak-kanak yang biasanya boleh diubah dengan nasihat dari pakar pemakanan atau doktor.

Beberapa perkara yang boleh menyebabkan kegagalan tumbesaran, termasuk: 

1. Pengambilan makanan yang tidak mencukupi

Kebanyakan kes adalah berpunca daripada masalah pengambilan makanan yang tidak mencukupi. Dalam beberapa kes, pengasuh tidak membancuh susu formula dengan betul, contohnya 2 oz susu tepung ditambahkan kepada 4 oz air. Ini menyebabkan bayi mendapat kalori yang kurang.

Masalah dengan peralihan kepada pepejal juga boleh menyebabkan bayi kekurangan kalori. Bayi yang baru belajar mengenali makanan pepejal mungkin tidak menyukai makanan tersebut pada percubaan pertama dan pengasuh telah melabelkan anak itu tidak menyukai makanan tersebut selama-lamanya dan seterusnya berlaku kepada makanan yang lain.

Percubaan makanan pepejal perlu diuji beberapa kali di hari yang berbeza sebelum melabelkan anak anda tidak menyukai makanan tersebut. Ibu bapa yang bimbang anak mereka akan mendapat lemak berlebihan boleh menyekat jumlah kalori yang diberikan kepada bayi mereka.

Kadang-kala pengasuh/ibu bapa tidak memberi perhatian yang cukup kepada isyarat kelaparan anak-anak mereka atau tidak mampu memberi makanan yang cukup untuk anak-anak mereka.

2. Penyakit berterusan atau kronik

Kanak-kanak yang mempunyai masalah pemakanan kerana pramatang atau bibir/lelangit sumbing, tidak boleh mengambil kalori yang cukup untuk menyokong pertumbuhan normal. Penyakit seperti autisme di mana mereka tidak suka memakan makanan dengan tekstur atau rasa tertentu menyebabkan proses pemakanan menjadi sukar.

Penyakit lain yang melibatkan jantung, paru-paru, sistem penghadaman atau sistem endokrin boleh meningkatkan jumlah kalori yang diperlukan oleh kanak-kanak. Ini akan menyukarkan kanak-kanak makan dengan cukup untuk bersaing dengan keperluan badan masing-masing.

3. Intolerans makanan

Intolerans makanan adalah berbeza daripada alahan makanan, bermakna badan adalah sensitif kepada makanan tertentu. Sebagai contoh, intoleransi protein susu bermakna badan tidak dapat menyerap makanan yang mempunyai protein susu, seperti yogurt dan keju, yang boleh membawa kepada kegagalan untuk membesar.

4. Jangkitan

Parasit, jangkitan saluran kencing (UTI), batuk kering, dan jangkitan lain boleh memaksa badan untuk menggunakan nutrien dengan cepat dan mengurangkan selera makan. Dalam jangka masa pendek atau panjang, ini boleh menyebabkan kegagalan tumbesaran.

5. Gangguan metabolik

Gangguan metabolik adalah keadaan kesihatan yang menyukarkan badan untuk memproses, atau mengambil tenaga daripada makanan. Gangguan ini juga boleh menyebabkan kanak-kanak kurang selera makan atau muntah-muntah.

Rawatan

Kadang-kadang gabungan masalah kesihatan dan faktor-faktor alam sekitar membawa kepada kegagalan pertumbuhan anak anda.

Rawatan untuk kanak-kanak yang mempunyai pertumbuhan yang lemah bergantung kepada punca masalah masing-masing, sama ada masalah kesihatan atau masalah pemakanan.

Pemakanan adalah pemacu utama bagi pertumbuhan kanak-kanak dan ini sepatutnya menjadi tumpuan utama penilaian awal, walaupun sejarah yang teliti dan pemeriksaan untuk sebab-sebab lain yang berpotensi juga penting.

Soalan berikut dijawab oleh Dr Shariza Lukman, Pakar Perunding Pediatrik (BSC MEDICAL SCIENCE (SCOTLAND), MBCHB (UK), MRCPCH (UK), MSC CHILD HEALTH (UK), Pantai Hospital Klang.
Sumber: Pa&Ma